Monday 23 January 2012

Set Goals

Assalamualaikum w.b.t.. 




Adalah menjadi arahan Allah SWT kepada seluruh Muslimin untuk mengikuti syara'. Hanya mereka yang mematuhi syara' yang akan beruntung. Keuntungan tersebut bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat. Hal ini akan berlaku dalam semua suasana dan ketika sekiranya syara' dipatuhi.


Untuk mengikuti syara' perlulah kepada matlamat yang terang. Matlamat yang terang perlu berhubung dengan keimanan kepada Allah SWT. Hanya matlamat yang berhubung dengan Allah SWT yang akan membawa kita kepada kejayaan yang sejati.

Seluruh tenaga, masa, fikiran dan wang ringgit yang kita gunakan  akan menjadi  sia-sia sekiranya kejelasan matlamat tidak tercapai. Matlamat hidup yang tidak jelas berlaku secara berleluasa dalam reliti masyarakat kita hari ini. Membiarkan hal ini berterusan bererti kita mendedahkan masyarakat kepada kerosakan demi kerosakan.
Mengetahui matlamat sesuatu perkara, amat penting dalam melaksanakan tugas, kerja dan ibadah setiap hari. Seorang pelajar yang faham matlamat belajar akan belajar bersungguh-sungguh. Seorang pekerja yang faham matlamat kerja, akan berusaha dalam kerjayanya. Pendek kata, orang yang jelas matlamatnya akan berusaha untuk mencapainya, merasa mudah untuk mencapainya kerana sudah jelas matlamatnya. Di sini, saya ingin berkongsi sedikit coretan hidup John Goddard. Walaupun beliau bukan seorang muslim tetapi di sebalik ceritanya, kita boleh mengambil iktibar dan menjadi motivasi buat kita semua. 
Ketika berumur 15 tahun, John Goddard duduk dan menyenaraikan 127 matlamat di dalam "Senarai Hidup" beliau yang mengandungi semua perkara yang ingin beliau alami di dunia ini. Selepas hampir 6 dekad (pada usia 74 tahun), beliau telah mencapai 109 matlamat yang tercatat di dalam senarainya, merekodkan kebanyakan daripada pemgembaraanya di tempat-tempat seperti National Geographic dan Reader's Digest.
John merupakan seorang graduan antropologi dan psikologi, beliau pernah mengkaji kebudayaan yang jarang dikenali di seluruh penjuru dunia. Beliau sudah berkahwin dan tinggal bersama isteri dan 2 daripada 5 anaknya. Beliau tidak percaya dalam mengejar pengembaraan semata-mata untuk kepuasan yang sia-sia tetapi menggunakan pengalaman ini untuk mencapai sesuatu yang bernilai pada akhirnya. Dalam hal ini, bagi beliau adalah penerokaan alam sains, membolehkan beliau menambahkan gedung pengetahuan dunia." Menggali keluar fakta merupakan cabaran sebenar,"beliau berkata sewaktu mengulas karlernya.
 "Pengembaraan boleh memberi perangsang dan keseronokan-tetapi merupakan perkara yang kedua pentingnya."
Walau bagaimanapun, "menggali" fakta boleh jadi satu kerjaya ang membahayakan. Beliau pernah dipatuk oleh ular berbisa, dikejar gajah, dan terperangkap dalam pasir jerlus. Beliau pernah terlibat dalam kemalangan pesawat, pernah terperangkap dalam gempa bumi dan dua kali hampir lemas dibawa jeram. Namun keinginan beliau yang begitu kuat untuk menemui pengetahuan baru dan mencapai senarai matlamat impian yang memimpin beliau meskipun merbahaya.
Selama bertahun-tahun, John Goddard menjelajah ke merata dunia membicarakan mengenai kepentingan menyenaraikan matlamat kepada orang ramai, tua dan muda. Beliau mengatakan bahawa terdapat magik yang akan berlaku sekiranya anda menerokai impian anda dan mencatatkannya. Beliau mengatakan bahawa ia menggerakkan perancangan untuk menetapkannya dan dengan tiba-tiba sahaja semua peluang untuk mencapai impian akan mula mendekati kamu. Mungkin ini berbunyi luar biasa tetapi pasti kamu tidak dapat mempertikaikan pencapaian beliau.
Apakah matlamat hidup kita? Sebagai muslim Al-Quran secara jelas memberitahu. Manusia tidak dijadikan sia-sia, ada matlamatnya walau di mana sekali pun kedudukan, zaman dan masa. Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya' : ayat 16
"Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala dan yang ada di antaranya secara main-main."
Manusia yang diciptakan oleh Allah SWT sudah jelas matlamatnya seperti yang dijelaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud;
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat" Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi?" Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata) "Adakah Engkau ( Ya Tuhan kami) hendaklah menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dan memujiMu dan mensucikanMu. Tuhan berfirman "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."
Manusia wajib taat dan patuh kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dengan mengikut ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah. Mereka hendaklah berusaha untuk meneruskan kehidupan mengikut acuan al-Quran dan sunnah. Yang jelasnya muslim adalah orang yang jelas hala tujunya menjadi hamba Allah yang berjaya mengikut peraturan sebagai khalifah di muka bumi walaupun diuji dengan pelbagai ujian dan halangan yang kadang-kadang di luar dugaan..Dengan itu, tetapkan matlamat hidup anda!


Friday 20 January 2012

Apabila Tangan 'Ringan' Buat Maksiat

Assalamualaikum wbt. Ramai mengatakan bumi kita sudah tua, kemungkaran berlaku di depan mata. Di sini saya ingin berkongsi dengan teman-teman mengenai tazkirah yang saya ikuti baru-baru ini, di dalam tazkirah tersebut imam ada mengulas tentang fenomena 'ringan tangan'. 'Ringan Tangan' yang dimaksudkan dalam konteks ini bukanlah yang membawa maksud rajin mahupun ringan tulang tetapi 'ringan tangan' di sini membincangkan hal 'ringan tangan' melakukan maksiat yang berlaku saban hari makin menular di kalangan masyarakat kita ini. Perkara ini merupakan satu perkara yang amat membimbangkan. Saban hari kita membaca di dada-dada akhbar kes pembuangan bayi, seks luar nikah, samseng 'junior', dan sebagainya yang satu ketika dulu begitu asing dalam kehidupan kita. Malah maksiat yang berlaku kini lebih 'advanced' daripada apa yang berlaku sebelumnya.
     Jika dulu bayi hanya dibuang atau ditinggalkan di tepi masjid dan kaki lima bangunan, namun kini 'trend'nya lebih menakutkan. Terdapat kes-kes di mana bayi dibunuh terlebih dahulu sebelum dibuang ke dalam tong sampah! Kita juga pernah dikejutkan dengan kejadian seorang anak yang memenggal kepala bapanya. Itu belum ditambah dengan berita seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah yang cuba dibelasah oleh sekumpulan pelajar perempuan! Semua kejadian ini menandakan masyarakat kita sudah semakin 'rosak'. Malah lebih memeningkan ianya semakin banyak dan kerap berlaku seolah-olah tangan kita semakin 'ringan' untuk melakukan kemungkaran.
     Ke mana perginya iman atau sekurang-kurangnya sifat peri kemanusiaan dalam diri individu sehingga dia sanggup membunuh bayi yang baru dilahirkan sebelum dibuang ke dalam tong sampah? Tidakkah dia berasa ngeri, takut mahupun kasihan untuk melakukan pembunuhan apatah lagi jika yang dibunuh itu zuriat sendiri?  Kucing pun sayang anak-anaknya teman-teman, dia akan cuba mempertahankan anaknya dari diganggu oleh musuh. Semua makhluk di dunia ini memerlukan kasih sayang . Kasih sayang merupakan nadi dalam hidup seseorang.
    Janganlah kita hanya membiarkan kemungkaran berlaku di depan mata tanpa berusaha untuk menghentikannya. Rasulluallah SAW pernah bersabda, "Barang siapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu, cegahlah ia dengan lisan(yakni menegur) dan sekiranya masih tidak mampu, maka hendaklah ia meletakkan sebenar-benar kebencian di dalam hati di atas kemungkaran yang berlaku. Dan ia adalah selemah-lemah iman (hadis riwaat Abu Said Al Khudri R.A)
    Andai kita hanya menutup mata, kita bimbang Allah akan menurunkan bala. Dan bala bukan hanya kepada mereka yang melakukan maksiat tetapi juga kepada mereka yang tidak mencegahnya. Baik siapa pun kita sama ada pelajar, guru, petani, peniaga, suri rumah atau sesiapa saja, kita harus sedar bahawa kerja Amar Maaruf dan Nahi Mungkar ini adalah tanggungjawab kita semua. Semoga Allah menghindar diri kita, keluarga, sahabat dan masyarakat seluruhnya daripada gejala 'ringan tangan' untuk melakukan maksiat.  

Doa Agar Sentiasa Mendapat Keampunan 

" Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah  bagiku segala dosaku dan kejahilanku, dan kekuranganku dalam urusanku dan apa yang hanya Engkau mengetahuinya lebih daripada diriku. Ya Allah, ampunilah aku dalam aku bermain-main ataupun bersungguh-sungguh, kesalahanku atau aku sengaja, dan semuanya itu yang ku lakukan."

Sunday 15 January 2012

MITOS PEMAKANAN SIHAT

                                                  بسم الله الرحمن الرحيم 

Assalamualaikum, pada hari ini saya ingin berkongsi sedikit info mengenai mitos pemakanan sihat. Seperti yang kita sudah ketahui, kekurangan nutrien boleh menjejaskan kesihatan dan kecergasan badan. Walaupun amalan pemakanan sihat sangat penting, terdapat mitos yang boleh menjejaskan kesihatan anda jika anda mempercayainya. Berikut adalah mitos mengenai pemakanan sihat:

1. BERSENAM DENGAN PERUT KOSONG.
    Jika perut anda berkeroncong, ia cuba memberitahu anda sesuatu. Jika anda tidak menghiraukannya, anda  memaksa badan anda bekerja tanpa bahan bakar. Sebelum bersenam atau melakukan apa-apa aktiviti fizikal, pastikan anda mengambil makanan ringan terlebih dahulu seperti sebiji epal.

2. BERGANTUNG KEPADA BISKUT DAN MINUMAN TENAGA
    Walaupun elok mengambilnya sekali sekala, ia tidak menghalang penyakit. Lebih baik anda bergantung kepada buah-buahan dan sayur-sayuran memandangkan ia penuh dengan vitamin, mineral, cecair dan serat.

3. TIDAK MENGAMBIL SARAPAN PAGI
    Tidak mengambil sarapan bukan idea yang bagus memandangkan sarapan pagi memulakan hari anda. Badan anda memerlukan bahan bakar secepat mungkin, dan tanpanya, anda akan berlapar hingga ke tengah hari.

4. DIET RENDAH KARBOHIDRAT.
    Badan anda memerlukan karbohidrat untuk otot dan juga penyimpanan tenaga.

5. MAKAN APA SAJA YANG ANDA MAHU.
    Pemakanan sihat dan bersenam tidak memberi anda lesen untuk memakan apa saja yang anda mahu. Kita semua memerlukan nutrien yang sama, sama ada kita bersenam atau tidak.

6. KURANG MINUM
    Air,susu dan jus adalah minuman terbaik untuk mereka yang aktif. Anda perlu kerap minum dan tidak menunggu dahaga. Apabila anda merasa dahaga, badan anda sudah merasa kesan kekurangan air.

Menukar cara anda makan adalah langkah penting ke arah pemakanan sihat dan ia akan memberi kesan ke atas kesihatan anda. Semakin sihat pemakanan anda, semakin sihat badan anda. Tidak kira berapa umur anda, pemakanan sihat merupakan sesuatu yang perlu anda utamakan. Jika anda memberi peluang kepada pemakanan sihat, anda segera akan melihat bagaimana ia mengubah kehidupan anda kepada yang lebih baik. Dengan badan yang sihat, kita dapat terus beribadah kepada Allah S.W.T dengan sebaik mungkin.








Friday 13 January 2012

Keindahan Surah Al-Falaq

Alhamdulillah,hari ini marilah kita bersama-sama menghayati intipati sebenar di sebalik Surah Al-Falaq. Mungkin sebelum ini, kebanyakan daripada kita hanya membaca dan menghafaz surah ini sahaja tetapi tidak menghayati keindahan sebenar disebalik surah Al-Falaq ini. Surah ini diturunkan sebelum Nabi Muhammad saw berhijrah. Surah ini termasuk dalam surah Makkiyah.


1. 'Katakanlah "Aku berlindung kepada Tuhan yang mencipta waktu subuh".
2. Daripada kejahatan makhluk yang diciptakanNya.


Tafsir: Waktu Subuh itu indah. Menikmati permandangan fajar pagi. Keindahan itu bukti kebesaran Allah S.W.T kerana Allah S.W.T Maha Besar dan Maha Berkuasa. Maka, hanya kepada Allah S.W.T, kita patut memohon perlindungan. Allah S.W.T memerintahkan kita bagi berlindung daripada kejahatan makhluk yang diciptakanNya iaitu daripada semua makhluk yang jahat. Sebab, setelah solat subuh, kita akan bertemu dengan banyak makhluk Allah S.W.T seperti manusia, binatang, benda-benda mati dan benda-benda yang tidak terlihat mata. Apabila berada di luar rumah, kita berhadapan dengan banyak bahaya. Oleh sebab itu, kita diperintahkan memohon perlindungan kepada Allah S.W.T.

3. dan daripada kejahatan malam apabila sudah selap gulita.

Malam yang gelap gulita menyebabkan semua benda menjadi tidak jelas. Pohon-pohon kelihatan indah pada waktu siang, tiba-tiba berubah menjadi menakutkan pada waktu malam. Bila malam menjelma, makhluk-makhluk berbahaya sering berkeliaran. Mereka sudah bersembunyi bagi mengintai sasaran. Oleh itu, pada umumya, kejahatan terjadi pada waktu malam. Disebabkan banyaknya kejahatan pada waktu malam, maka Allah S.W.T memerintahkan kita berlindung kepadaNya. Berlindung kepada Allah, tidak cukup hanya dengan berdoa. Kita perlu berusaha mengelaknya.

4. dan daripada kejahatan orang-orang yang mengamalkan ilmu-ilmu (sihir) menghembus-hembuskan.

Ahli sihir memang sahabat syaitan. Dengan ilmu sihir, ahli-ahli sihir itu menyesatkan manusia. Terdapat cerita tentang 'Ahli Sihir Raja Firaun'. Pada zaman Nabi Musa, ahli-ahli sihir Raja Firaun berusaha menyesatkan manusia dengan sihir mereka. Mereka menukarkan tali menjadi ular bagi menakutkan orang supaya mahu menyembah Firaun. Sihir ahli-ahli sihir itu kemudian dikalahkan oleh kuasa Allah S.W.T kerana itu, kita harus selalu taat kepada Allah S.W.T, supaya Allah S.W.T memberikan perlindungan kepada kita. Orang yang tidak pernah solat dan membaca Al-Quran, mudah terkena sihir. Orang-orang yang taat selalu dilindungi Allah S.W.T. Sekiranya syaitan takut kepada orang yang solat dan membaca Al-Quran, maka ahli sihir pun sukar hendak menyihirkan orang yang taat beribadah.

5. dan daripada kejahatan orang-orang yang dengki apabila dia dengki.

Orang dengki adalah orang yang iri hati. Melihat kejayaan orang lain, lalu berusaha memburuk-burukkan orang itu. Dia guna cara-cara yang jahat seperti menfitnah. Nabi Muhammad saw pernah mengatakan "iri hati hanya boleh dalam dua hal. Iaitu, kepada orang yang berilmu tinggi, lalu menggunakannya bagi tujuan kebaikan, ataupun kepada orang yang diberi anugerah yang banyak dan digunakan bagi beramal.

Tuesday 10 January 2012

Nikmat dan Musibah Ujian Kehidupan

Assalamualaikum, pada petang yang nyaman ini bersyukur saya ke hadrat Allah S.W.T kerana memberi saya peluang dan ilham untuk sama-sama berkongsi ilmu dengan sahabat-sahabat sekalian.
                                                     Ucaplah Alhamdulillah
                                                     syukur kita kepada Allah
Mesti sahabat-sahabat pernah mendengar ayat di atas, ia merupakan permulaan bagi lagu "Syukur" nyanyian Raihan. Syukur memberi makna yang tidak terhingga. Allah S.W.T telah menjamin di dalam Al-Quran, barang siapa yang bersyukur maka Allah akan menambah nikmat kepada orang tersebut. Sudahkah kita bersyukur? Sudahkah kita merasakan tambahan nikmat atas syukur kita?Adakah kita ingin mendapatkan nikmat yang lebih besar lagi? Lupakan mengeluh wahai sahabat-sahabatku, mulailah perbanyakkan syukur.
Di sini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya bersama-sama dengan sahabat-sahabat sekalian. Pada petang yang sibuk, ketika saya baru sahaja turun dari sebuah bas, ternampak saya akan seorang remaja yang tidak sihat dimana dia terencat akal. Dia menjerit-jerit memanggil emaknya yang sedang membeli barang di seberang jalan perhentian bas. Namun, adiknya yang berumur lebih kurang 10 tahun memujuk abangnya supaya bersabar menunggu emak dan ayah di stesen bas. Saya melihat sahaja telatah dua beradik itu. Setelah emak dan ayahnya kembali ke stesen bas, pilunya rasa hati ini melihat emak dan ayah kepada dua beradik itu cacat penglihatan. Perjalanan mereka dipandu dengan sebatang tongkat. Menitis air mata ini melihat keluarga itu yang begitu cekal hati menerima setiap dugaan Allah. Mereka menjalani kehidupan dengan berbekalkan semangat yang kuat. Tidak dinafikan, belum tentu saya sendiri tabah sekiranya berdepan dengan dugaan sebegitu. Saya melihat keluarga itu sentiasa bergelak tawa sesama mereka. Maka dengan itu, kita sebagai hamba Allah yang diciptakan dengan sempurna pancaindera perlulah bersyukur dengan nikmatnya.

"Dan Allah mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), tetapi sedikit antara manusia yang bersyukur" (As-Sajadah:9)

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat kepada kamu dan jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah pedih"(Ibrahim:7) 

Untukcmeningkatkan rasa syukur, ciptakanlah 'Feeling Good'. Dengan bersyukur akan membuatkan kita lebih bahagia. Perasaan kita menjadi lebih baik dan hati kita akan menjadi lebih tenang. Fikiran kita akan fokus kepada berbagai kebaikan yang kita terima. Maka dengan itu, jadilah kita orang yang bersyukur.


Syukur itu sifat mulia,
 Hindar dari tamak haloba,
Rasa cukup apa yang ada,
                                                              Hati tenang hidup bahagia.



Friday 6 January 2012

Allah yang Satu


Sesungguhnya Allah itu maha berkuasa di atas segala sesuatu. Allah S.W.T telah merencanakan sesuatu yang terbaik buat hamba-hambaNya. Jika belum tercapai sesuatu perkara yang kita inginkan maka kita selaku hamba teruskan berusaha dan bertawakal. Sudah menjadi sunatullah, manjadda wajada(siapa berusaha maka dia akan Berjaya.
Selain berusaha, penting untuk kita tetap bersangka baik dengan Allah S.W.T. Kita perlu mempunyai sangka baik bahawa Allah S.W.T pasti akan menunaikan hasrat dan impian kita, meskipun bukan pada saat ini, pasti Allah akan menunaikan jua, pada ketika dan waktu yang lebih baik dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Maka dengan itu, pupuklah sifat sabar dalam diri anda kerana sabar merupakan antara ujian Allah.
Itulah penting mencintai Allah. Bahkan cinta kepada Allah adalah cinta yang pertama. Cinta kepada Allah menuntut kita untuk menjadi hamba Allah yang terbaik, melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan.
Allah berfirman yang bermaksud: Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya, ibunya telah mengandungkan  dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam tempoh dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. Hanya kepada Akulah tempat kamu kembali.