Tuesday, 22 January 2013

Usia Bumi Kita..

Assalamualaikum, baru-baru ini saya ada terbaca buku ensiklopedia milik  Sekolah Kebangsaan Seri Amar Diraja. Tertarik saya kepada salah satu tajuk yang terkandung dalam buku tersebut iaitu "USIA BUMI". 

Tahukah anda berapa usia bumi kita?

Menurut ilmuwan, bumi berusia sekitar 4.5 ribu juta tahun. Dalam Al-Quran dan Hadis tidak ada keterangan tentang usia bumi kerana wahyu tidak bertujuan untuk itu. Tetapi ada kisah metaforik ketika Nabi Muhammad s.a.w melakukan mikraj ke sidratulmuntaha. Baginda melihat seorang tua yang tidak bergigi, rambutnya banyak telah gugur, kulitnya kering, wajahnya berkedut-kedut. Orang tua itu berjalan dengan langkah yang berat. Lalu Nabi Muhammad s.a.w bertanya kepada Jibrail, "Siapakah gerangan orang tua itu?". Jibrail menjawab, "Orang tua itu adalah perumpamaan bumi yang sangat tua usianya.

Maka dengan itu, saya ingatkan diri saya dan anda bahawa garaplah peluang yang diberi ini untuk melakukan amal kebaikan untuk dibawa bekalan ke akhirat kelak. Semoga kita berjumpa di Jannah...InsyaAllah..

Saturday, 12 January 2013

Mendorong Pelajar dengan Teknik Nabi Muhammad S.A.W

Assalamualaikum w.b.t...alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah...syukur kepada Allah, kerana Dia masih mengizinkan hambaNya ni untuk berkongsi ilmu dengan saudara saudari  yang sudi membaca blog saya ini. Hati ini tergerak untuk memberi sedikit perkongsian ilmu yang telah saya perolehi dan semoga ilmu ini juga dapat memberi manfaat kepada kita bersama. 

Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan untuk menghadiri majlis ilmu yang telah disampaikan oleh Puan Khairulaniza Khairudin yang mengupas tajuk 
"Mendorong Pelajar dengan Teknik Nabi Muhammad s.a.w
Terdapat beberapa teknik yang telah digunakan oleh rasul kita dalam mendidik umatnya dan dapat diaplikasikan oleh guru kepada para pelajarnya. 

1. Teknik Memuji


Aplikasi Hadith 'Pintu Langit Terbuka'


Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim


Intipati hadith:
1. Apabila mendorong orang supaya mempertingkatkan prestasinya, berikan pujian kepada prestasinya yang baik, manakala prestasinya yang buruk didiamkan sahaja.
2. Apabila memberi pujian, pujian itu hendaklah diberikan kepada kerja yang dilakukan ataupun kepada hasil kerja bukan memuji orang yang melakukan kebaikan itu supaya tidak timbul rasa riak ataupun bangga kepada diri sendiri. 
3. Pujian hendaklah diberikan segera, tidak ditangguh-tangguhkan.Secara tidak langsung dapat meningkatkan 'penghargaan kendiri' pelajar.
4. Apabila kerja itu dilakukan secara terbuka maka pujian pun diberikan secara terbuka.

Aplikasi hadith:
1. Hadith ini adalah hadith motivasi bagi tujuan memperkukuhkan tingkah laku yang positif dan memadam tingkah laku negatif.
2. Dua tingkah laku positif yang diperkukuhkan dalam hadith ini adalah:
i. Datang ke masjid bagi solat berjemaah.
ii. Menggunakan daya kreativiti bagi menghasilkan idea yang baik.
3. Satu tingkah laku negatif yang dipadamkan adalah: Dia bercakap kuat di dalam masjid.
Cara memadam tingkah laku negatif adalah dengan mendiamkannya sahaja, yakni perbuatan tidak ditegur.
4. Apabila memuji bagi tujuan memperkukuhkan tingkah laku yang positif, tekniknya adalah:
i. Pilih satu perbuatannya yang baik.
ii. Puji kebagusan perbuatannya itu.
iii. Sebut impak daripada perbuatan tersebut.

Teguran buat guru-guru, marah merupakan salah satu daripada hukuman. Sekiranya guru merasa ingin marah atas tingkahlaku pelajar, ambil masa untuk diam. Sewaktu dalam keadaan diam itu, guru perlu menenangkan diri, mengawal rasa marah, berdoa, tidak menegur tetapi menerangkan kesalahan. 

2. Teknik tidak menyiasat. 

Guru perlulah mengamalkan teknik kedua ini iaitu tidak menyiasat. Sebagai contoh, terdapat seorang pelajar yang lewat masuk ke kelas. Guru tidaklah serta merta menyoal mengapa lewat?dan terus memberi hukuman kepada pelajar tersebut. 

3.  Teknik tidak menegur kesalahan pelajar. 

Sekiranya terdapat pelajar yang membuat kesalahan, guru tidak perlu menegur kesalahan tersebut, untuk mengelakkan dari memalukan pelajar tersebut tetapi guru perlu menerangkan kesalahan yang telah dilakukan dan turut sama menerangkan kesan ke atas kesalahan tersebut.

4. Guru tidak menghukum kesalahan pelajar

Analisis Hadith Psikologi: Romeo Bercumbu di Pinggir Kota


Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah lakukan semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahukan.” Saidina Umar memarahi pemuda itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian pemuda itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil pemuda itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepadanya ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” – Hadith ini dipetik dari koleksi hadith-hadith autentik yang direkodkan oleh Abu Daud.

Intipati hadith:
1. Apabila ada kesalahan dilakukan, punca-punca kesalahan itu tidak disiasat.
2. Tidak bertanya “mengapa” kepada pesalah kerana jawapannya boleh menjatuhkan maruah pesalah.
3. Tumpukan kepada memberikan jalan penyelesaaian masalah.
Aplikasi hadith:
1. Hadith ini adalah hadith motivasi akhlak.
2. Teknik-teknik dalam hadith ini sesuai digunakan kepada orang yang pernah melakukan kesalahan akhlak, seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.
3. Penggunaan teknik-teknik dalam hadith ini mempunyai kuasa mendorong orang yang pernah melakukan dosa supaya memberhentikan perbuatannya tanpa dia dihukum.
4. Prinsip yang paling penting dalam hadith ini adalah tidak menyiasat mengapa orang itu melakukan dosa-dosa yang pernah dilakukannya.
5. Teknik guru tutup mata kepada kesalahan, sebaliknya memuji kebaikan pelajar.
Kelaziman guru hanya nampak kepada kesalahan pelajar dan kurang nampak kepada kebaikan pelajar. 
Apabila menggunakan teknik nabi susuli tindakan dengan :
- Terangkan kesalahan
- Berikan jalan penyelesaian 
- Puji kebaikan. 
Saya mengharapkan kita sebagai bakal guru akan cuba memperbaiki kesilapan dan sekiranya kita sering merungut apabila mendapat kelas yang hujung, cubalah menggunakan teknik Nabi Muhammad s.a.w ini. Setakat ini sahaja perkongsian saya. Segala yang baik datangnya dari Allah.. Assalamualaikum.