Friday 20 April 2012

Syariat Sunat Harian Sepanjang Masa

Assalamualaikum w.b.t...Sudah sekian lama blog ana ini tidak di isi dengan ilmu-ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk kita bersama. Ana akui kesibukan ana sewaktu praktikum sehingga melupakan ana terhadap blog kesayangan ana ni. 
Ingin ana berkongsi terlebih dahulu apa yang ana perolehi sewaktu praktikum di SK Titi Gajah. Mungkin sebelum praktikum ana dibisikkan dengan cerita-cerita mengenai kenakalan pelajar-pelajar SK Titi Gajah dan cerewetnya pensyarah pembimbing. Namun begitu, setelah sebulan menjalani praktikum banyak perkara yang ana belajar. Ana bersyukur sangat kerana pelajar-pelajar di Sk Titi Gajah merupakan pelajar-pelajar yang baik, mudah mendengar arahan dan amat menghormati guru. Walaupun hanya sebulan ana di sana tetapi alhamdulillah ana dapat menawan hati-hati para pelajar ana. Mengenai pensyarah pembimbing pula, usah dibuat penilaian terhadap seseorang hanya dengan mendengar cerita-cerita yang disampaikan tetapi mengenal seseorang dahulu adalah yang terbaik. Alhamdulillah, pensyarah pembimbing ana banyak membantu dan memberi tunjuk ajar dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan bagi ana tiada masalah yang timbul selama ana dengan beliau. Menjadi seorang guru bukanlah mudah kerana kita perlu membentuk sikap manusia. Keikhlasan amat penting dalam diri seorang guru. Tugas seorang guru bukan hanya berorientasikan peperiksaan tetapi pembentukan akhlak dan aqidah seseorang itu adalah lebih penting. Walaupun ana guru pendidikan jasmani tetapi bacaan doa sebelum dan selepas P&P tidak ana lupakan kerana ana inginkan Allah S.W.T memberkati ilmu yang ana sampaikan dan para pelajar ana mendapat ilmu tersebut.Alhamdulillah.
Panjang lebar ana mengulas hal praktikum ana, sekarang ana  ingin berkongsi sedikit perkara yang dapat mendekatkan kita kepada pencipta kita yang satu. Ana ingin berkongsi mengenai syariat sunat harian sepanjang masa.  

"Wahai Tuhanku, ampunilah aku, kasihanilah aku, tutupilah aibku, tinggikanlah darjatku, berikanlah aku rezeki, tunjukilah aku, sejahterakanlah aku dan maafkanlah aku."

Setiap muslim yang berhasrat untuk meningkatkan tahap kecintaan dan ketakwaan terhadap Allah SWT perlu memperbanyak syariat harian yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW demi mencapai martabat al-Muqarrabin iaitu mereka yang berjaya menghampirkan diri kepada-Nya.

Antara amalan-amalan mulia ialah membaca al-Quran, istighfar, berzikir, berselawat dan berdoa. 

MEMBACA AL-QURAN

Kelebihan Membaca Al-Quran ialah :
  • Ibadah yang paling utama dari segi bacaan.
  • Balasan satu huruf yang dibaca ialah bidadari di syurga, juga dikatakan balasan sebatang pokok di syurga.
  • Mengikut Ibn Abbas r.a, pembaca Al-Quran ialah seorang hartawan dan pahala membaca tidak akan putus.
  • Selamat daripada api neraka, mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia bersama malaikat.
  • Pada hari kiamat, Al-Quran menjadi pembela.
  • Pembaca akan memperolehi keamanan di dunia dan kemuliaan di syurga.
  • Membaca sebelum tidur akan mendapat kawalan malaikat.
  • Membaca Al-Quran secara kumpulan akan diampun dosa mereka.
Surah yang digalakkan baca pada malam dan hari jumaat
  • Surah Yasin (diampunkan dosa pada siangnya)
  • Surah Al-Dukhan.
  • Surah al-Kahfi (Dihapuskan dosa di antara dua jumaat)
  • Surah al-Sajdah
"Membaca dan mengamalkan seluruh isi kandungan al-Quran itulah yang paling ''ideal'' dan sempurna sekali".

BERDOA

Berdoa merupakan amalan penting yang dapat menghubungkan insan dengan Allah S.W.T sebagai penyelesaian segala masalah rohani dan jasmani, pelerai kesulitan dunia dan akhirat.

Allah S.W.T berfirman :
"Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku, sesungguhnya Aku terlalu hampir. Aku perkenankan doa orang yang meminta apabila ia berdoa kepada-Ku. (Surah al-Baqarah : 186)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

Daripada Abu Umamah r.a katanya: Telah ditanya orang akan Rasulullah SAW : "Ya Rasulullah, manakah dia doa yang paling didengari?" Rasulullah SAW bersabda, "Di penghujung malam yang terakhir dan selepas solat lima waktu." (Riwayat al-Tarmizi).

Ana akhiri dengan sepotong doa untuk kita bersama.

" Ya Allah, kayakanlah daku dengan ilmu, hiasilah diriku dengan budi pekerti, muliakan daku dengan ketakwaan dan baguskanlah diriku dengan kesihatan ".

No comments:

Post a Comment