Friday 30 December 2011

HIDAYAH Langkah Pertama kepada Allah?

Seorang lelaki ditutup kedua-dua matanya, lalu dilepaskan berjalan. Langkahnya begitu payah, tangannya teraba-raba, dirinya bingung ke mana hala tuju yang harus dilalui. Di sekelilingnya pula penuh onak, duri, kaca serta gaung yangdalam. Apabila dia terus berjalan, kakinya terhiris kaca tajam, onak menusuk sehingga ke tulang dan hayunan langkahnya membawa  ke pinggir gaung. Perjalanan itu menghadiahkannya kesakitan yang sangat dalam. Dalam kesakitan itu, dia pasti menangis dan pastinya mengharap penutup matanya dibuka. Dia merayu agar dirinya dapat keluar dari kegelapan yang merensakan ke jalan yang selamat. Dia mengharapkan petunjuk! Dengan cahaya petunjuk sahajalah dia mampu bebas daripada kesusahan ini.

Erti hidayah?
Hidayah  daripada perkataan bahasa Arab yang berasal daripada kata dasar hadaa, yahdi, hidayatan. Ia beerti 'petunjuk'. Hidayah ataupun petunjuk adalah sesuatu yang datangnya dari Allah.

Kedudukan hidayah di sisi Allah?
Di antara nama-nama Allah S.W.T adalah al-Hadi yang bermaksud Yang Maha Memberi Petunjuk. Hanya Allah yang boleh memberi petunjuk atau hidayah kepada seseorang itu. Dalam al-Quran, Allah menyebut: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada siapa yang engkau sayangi tetapi Allah jualah yang memberihidayah kepada siapa yang Dia kehendaki."
(Al-Qasas:56)

Persoalan hidayah sangat penting bagi seorang insan?
Kepentingan hidayah dapat difahami apabila kita melihat kepada keseluruhan erti Islam itu sendiri. Islam adalah sebuah diinun, dan disebut sebagai 'jalan yang lurus'. jalan yang lurus bererti satu cara hidup yang selamat, sejahtera dan cemerlang. Ia lurus kerana membawa terus kepada keredhaan Allah sehingga ke syurga dan hidup kekal abadi di sana. Namun untuk dapat berada di atas jalan yang lurus ini, ia sukar kerana begitu banyak jalan lain yang dianggap sebagai cara dan gaya hidup yang diikuti oleh manusia.
 Allah berfirman: "Dan bahawa inilah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia, dan jangan kamu ikut jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu memesongkan kamu dari jalan-Nya." (Al-An'am:153)
Hakikatnya, jalan-jalan lain itu bengkok kerana ia menyimpang dari jalan Allah yakni agama Islam. Hidayah atau petunjuk daripada Allah merupakan langkah pertama bagi melalui kehidupan beragama. Tanpa hidayah, jangan sebut soal lain dalam agama ini.

Wajib meminta hidayah atau hanya menunggu dikurniakan oleh Allah?
Solat dari segi bahasa beerti 'doa' atau 'meminta'. Solat merupakan rukun islam dan dianggap sebagai tiang agama. Solat adalah juga munajat iaitu bisikan seorang hamba kepada khaliknya. Di dalam solat, seorang hamba meminta dan menyatakan permohonannya kepada Allah. Di dalam begitu banyak permohonan yang kita pinta semasa solat, ada satu permintaan yang diwajibkan Allah kepada hamba-Nya. Ia tersenarai sebagai rukun solat, ia wajib dibaca agar solat itu sah dan sempurna. Perkara itu adalah bacaan surah al-Fatihah. Dalam ayat yang keenam dalam surah Al-Fatihah terkandung satu-satunya doa yang berbunyi :"Tunjukilah kami jalan yang lurus."Ini beerti, memohon agar diberi petunjuk oleh Allah adalah wajib.

No comments:

Post a Comment