Friday 13 January 2012

Keindahan Surah Al-Falaq

Alhamdulillah,hari ini marilah kita bersama-sama menghayati intipati sebenar di sebalik Surah Al-Falaq. Mungkin sebelum ini, kebanyakan daripada kita hanya membaca dan menghafaz surah ini sahaja tetapi tidak menghayati keindahan sebenar disebalik surah Al-Falaq ini. Surah ini diturunkan sebelum Nabi Muhammad saw berhijrah. Surah ini termasuk dalam surah Makkiyah.


1. 'Katakanlah "Aku berlindung kepada Tuhan yang mencipta waktu subuh".
2. Daripada kejahatan makhluk yang diciptakanNya.


Tafsir: Waktu Subuh itu indah. Menikmati permandangan fajar pagi. Keindahan itu bukti kebesaran Allah S.W.T kerana Allah S.W.T Maha Besar dan Maha Berkuasa. Maka, hanya kepada Allah S.W.T, kita patut memohon perlindungan. Allah S.W.T memerintahkan kita bagi berlindung daripada kejahatan makhluk yang diciptakanNya iaitu daripada semua makhluk yang jahat. Sebab, setelah solat subuh, kita akan bertemu dengan banyak makhluk Allah S.W.T seperti manusia, binatang, benda-benda mati dan benda-benda yang tidak terlihat mata. Apabila berada di luar rumah, kita berhadapan dengan banyak bahaya. Oleh sebab itu, kita diperintahkan memohon perlindungan kepada Allah S.W.T.

3. dan daripada kejahatan malam apabila sudah selap gulita.

Malam yang gelap gulita menyebabkan semua benda menjadi tidak jelas. Pohon-pohon kelihatan indah pada waktu siang, tiba-tiba berubah menjadi menakutkan pada waktu malam. Bila malam menjelma, makhluk-makhluk berbahaya sering berkeliaran. Mereka sudah bersembunyi bagi mengintai sasaran. Oleh itu, pada umumya, kejahatan terjadi pada waktu malam. Disebabkan banyaknya kejahatan pada waktu malam, maka Allah S.W.T memerintahkan kita berlindung kepadaNya. Berlindung kepada Allah, tidak cukup hanya dengan berdoa. Kita perlu berusaha mengelaknya.

4. dan daripada kejahatan orang-orang yang mengamalkan ilmu-ilmu (sihir) menghembus-hembuskan.

Ahli sihir memang sahabat syaitan. Dengan ilmu sihir, ahli-ahli sihir itu menyesatkan manusia. Terdapat cerita tentang 'Ahli Sihir Raja Firaun'. Pada zaman Nabi Musa, ahli-ahli sihir Raja Firaun berusaha menyesatkan manusia dengan sihir mereka. Mereka menukarkan tali menjadi ular bagi menakutkan orang supaya mahu menyembah Firaun. Sihir ahli-ahli sihir itu kemudian dikalahkan oleh kuasa Allah S.W.T kerana itu, kita harus selalu taat kepada Allah S.W.T, supaya Allah S.W.T memberikan perlindungan kepada kita. Orang yang tidak pernah solat dan membaca Al-Quran, mudah terkena sihir. Orang-orang yang taat selalu dilindungi Allah S.W.T. Sekiranya syaitan takut kepada orang yang solat dan membaca Al-Quran, maka ahli sihir pun sukar hendak menyihirkan orang yang taat beribadah.

5. dan daripada kejahatan orang-orang yang dengki apabila dia dengki.

Orang dengki adalah orang yang iri hati. Melihat kejayaan orang lain, lalu berusaha memburuk-burukkan orang itu. Dia guna cara-cara yang jahat seperti menfitnah. Nabi Muhammad saw pernah mengatakan "iri hati hanya boleh dalam dua hal. Iaitu, kepada orang yang berilmu tinggi, lalu menggunakannya bagi tujuan kebaikan, ataupun kepada orang yang diberi anugerah yang banyak dan digunakan bagi beramal.

No comments:

Post a Comment