Friday 20 January 2012

Apabila Tangan 'Ringan' Buat Maksiat

Assalamualaikum wbt. Ramai mengatakan bumi kita sudah tua, kemungkaran berlaku di depan mata. Di sini saya ingin berkongsi dengan teman-teman mengenai tazkirah yang saya ikuti baru-baru ini, di dalam tazkirah tersebut imam ada mengulas tentang fenomena 'ringan tangan'. 'Ringan Tangan' yang dimaksudkan dalam konteks ini bukanlah yang membawa maksud rajin mahupun ringan tulang tetapi 'ringan tangan' di sini membincangkan hal 'ringan tangan' melakukan maksiat yang berlaku saban hari makin menular di kalangan masyarakat kita ini. Perkara ini merupakan satu perkara yang amat membimbangkan. Saban hari kita membaca di dada-dada akhbar kes pembuangan bayi, seks luar nikah, samseng 'junior', dan sebagainya yang satu ketika dulu begitu asing dalam kehidupan kita. Malah maksiat yang berlaku kini lebih 'advanced' daripada apa yang berlaku sebelumnya.
     Jika dulu bayi hanya dibuang atau ditinggalkan di tepi masjid dan kaki lima bangunan, namun kini 'trend'nya lebih menakutkan. Terdapat kes-kes di mana bayi dibunuh terlebih dahulu sebelum dibuang ke dalam tong sampah! Kita juga pernah dikejutkan dengan kejadian seorang anak yang memenggal kepala bapanya. Itu belum ditambah dengan berita seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah yang cuba dibelasah oleh sekumpulan pelajar perempuan! Semua kejadian ini menandakan masyarakat kita sudah semakin 'rosak'. Malah lebih memeningkan ianya semakin banyak dan kerap berlaku seolah-olah tangan kita semakin 'ringan' untuk melakukan kemungkaran.
     Ke mana perginya iman atau sekurang-kurangnya sifat peri kemanusiaan dalam diri individu sehingga dia sanggup membunuh bayi yang baru dilahirkan sebelum dibuang ke dalam tong sampah? Tidakkah dia berasa ngeri, takut mahupun kasihan untuk melakukan pembunuhan apatah lagi jika yang dibunuh itu zuriat sendiri?  Kucing pun sayang anak-anaknya teman-teman, dia akan cuba mempertahankan anaknya dari diganggu oleh musuh. Semua makhluk di dunia ini memerlukan kasih sayang . Kasih sayang merupakan nadi dalam hidup seseorang.
    Janganlah kita hanya membiarkan kemungkaran berlaku di depan mata tanpa berusaha untuk menghentikannya. Rasulluallah SAW pernah bersabda, "Barang siapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu, cegahlah ia dengan lisan(yakni menegur) dan sekiranya masih tidak mampu, maka hendaklah ia meletakkan sebenar-benar kebencian di dalam hati di atas kemungkaran yang berlaku. Dan ia adalah selemah-lemah iman (hadis riwaat Abu Said Al Khudri R.A)
    Andai kita hanya menutup mata, kita bimbang Allah akan menurunkan bala. Dan bala bukan hanya kepada mereka yang melakukan maksiat tetapi juga kepada mereka yang tidak mencegahnya. Baik siapa pun kita sama ada pelajar, guru, petani, peniaga, suri rumah atau sesiapa saja, kita harus sedar bahawa kerja Amar Maaruf dan Nahi Mungkar ini adalah tanggungjawab kita semua. Semoga Allah menghindar diri kita, keluarga, sahabat dan masyarakat seluruhnya daripada gejala 'ringan tangan' untuk melakukan maksiat.  

Doa Agar Sentiasa Mendapat Keampunan 

" Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah  bagiku segala dosaku dan kejahilanku, dan kekuranganku dalam urusanku dan apa yang hanya Engkau mengetahuinya lebih daripada diriku. Ya Allah, ampunilah aku dalam aku bermain-main ataupun bersungguh-sungguh, kesalahanku atau aku sengaja, dan semuanya itu yang ku lakukan."

No comments:

Post a Comment