Monday 23 January 2012

Set Goals

Assalamualaikum w.b.t.. 




Adalah menjadi arahan Allah SWT kepada seluruh Muslimin untuk mengikuti syara'. Hanya mereka yang mematuhi syara' yang akan beruntung. Keuntungan tersebut bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat. Hal ini akan berlaku dalam semua suasana dan ketika sekiranya syara' dipatuhi.


Untuk mengikuti syara' perlulah kepada matlamat yang terang. Matlamat yang terang perlu berhubung dengan keimanan kepada Allah SWT. Hanya matlamat yang berhubung dengan Allah SWT yang akan membawa kita kepada kejayaan yang sejati.

Seluruh tenaga, masa, fikiran dan wang ringgit yang kita gunakan  akan menjadi  sia-sia sekiranya kejelasan matlamat tidak tercapai. Matlamat hidup yang tidak jelas berlaku secara berleluasa dalam reliti masyarakat kita hari ini. Membiarkan hal ini berterusan bererti kita mendedahkan masyarakat kepada kerosakan demi kerosakan.
Mengetahui matlamat sesuatu perkara, amat penting dalam melaksanakan tugas, kerja dan ibadah setiap hari. Seorang pelajar yang faham matlamat belajar akan belajar bersungguh-sungguh. Seorang pekerja yang faham matlamat kerja, akan berusaha dalam kerjayanya. Pendek kata, orang yang jelas matlamatnya akan berusaha untuk mencapainya, merasa mudah untuk mencapainya kerana sudah jelas matlamatnya. Di sini, saya ingin berkongsi sedikit coretan hidup John Goddard. Walaupun beliau bukan seorang muslim tetapi di sebalik ceritanya, kita boleh mengambil iktibar dan menjadi motivasi buat kita semua. 
Ketika berumur 15 tahun, John Goddard duduk dan menyenaraikan 127 matlamat di dalam "Senarai Hidup" beliau yang mengandungi semua perkara yang ingin beliau alami di dunia ini. Selepas hampir 6 dekad (pada usia 74 tahun), beliau telah mencapai 109 matlamat yang tercatat di dalam senarainya, merekodkan kebanyakan daripada pemgembaraanya di tempat-tempat seperti National Geographic dan Reader's Digest.
John merupakan seorang graduan antropologi dan psikologi, beliau pernah mengkaji kebudayaan yang jarang dikenali di seluruh penjuru dunia. Beliau sudah berkahwin dan tinggal bersama isteri dan 2 daripada 5 anaknya. Beliau tidak percaya dalam mengejar pengembaraan semata-mata untuk kepuasan yang sia-sia tetapi menggunakan pengalaman ini untuk mencapai sesuatu yang bernilai pada akhirnya. Dalam hal ini, bagi beliau adalah penerokaan alam sains, membolehkan beliau menambahkan gedung pengetahuan dunia." Menggali keluar fakta merupakan cabaran sebenar,"beliau berkata sewaktu mengulas karlernya.
 "Pengembaraan boleh memberi perangsang dan keseronokan-tetapi merupakan perkara yang kedua pentingnya."
Walau bagaimanapun, "menggali" fakta boleh jadi satu kerjaya ang membahayakan. Beliau pernah dipatuk oleh ular berbisa, dikejar gajah, dan terperangkap dalam pasir jerlus. Beliau pernah terlibat dalam kemalangan pesawat, pernah terperangkap dalam gempa bumi dan dua kali hampir lemas dibawa jeram. Namun keinginan beliau yang begitu kuat untuk menemui pengetahuan baru dan mencapai senarai matlamat impian yang memimpin beliau meskipun merbahaya.
Selama bertahun-tahun, John Goddard menjelajah ke merata dunia membicarakan mengenai kepentingan menyenaraikan matlamat kepada orang ramai, tua dan muda. Beliau mengatakan bahawa terdapat magik yang akan berlaku sekiranya anda menerokai impian anda dan mencatatkannya. Beliau mengatakan bahawa ia menggerakkan perancangan untuk menetapkannya dan dengan tiba-tiba sahaja semua peluang untuk mencapai impian akan mula mendekati kamu. Mungkin ini berbunyi luar biasa tetapi pasti kamu tidak dapat mempertikaikan pencapaian beliau.
Apakah matlamat hidup kita? Sebagai muslim Al-Quran secara jelas memberitahu. Manusia tidak dijadikan sia-sia, ada matlamatnya walau di mana sekali pun kedudukan, zaman dan masa. Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya' : ayat 16
"Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala dan yang ada di antaranya secara main-main."
Manusia yang diciptakan oleh Allah SWT sudah jelas matlamatnya seperti yang dijelaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud;
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat" Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi?" Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata) "Adakah Engkau ( Ya Tuhan kami) hendaklah menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dan memujiMu dan mensucikanMu. Tuhan berfirman "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."
Manusia wajib taat dan patuh kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dengan mengikut ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah. Mereka hendaklah berusaha untuk meneruskan kehidupan mengikut acuan al-Quran dan sunnah. Yang jelasnya muslim adalah orang yang jelas hala tujunya menjadi hamba Allah yang berjaya mengikut peraturan sebagai khalifah di muka bumi walaupun diuji dengan pelbagai ujian dan halangan yang kadang-kadang di luar dugaan..Dengan itu, tetapkan matlamat hidup anda!


No comments:

Post a Comment